CUBA CLICK!!!

Tuesday, July 20, 2010

sharing....

Wadah seni teater (petikan daripada akhbar KOSMO 20 july 2010)

RAKAN Muda merupakan antara platform terbaik kepada golongan belia menonjolkan kemahiran, personaliti dan kreativiti mereka kepada khayalak. Program yang dilancarkan sejak tahun 1994 itu menyasarkan penyertaan golongan remaja yang berumur di antara 15 hingga 25 tahun tanpa mengira kaum, agama, latar belakang, etnik dan sosio ekonomi.
Jika sebelum ini remaja dipandang sebagai golongan yang sering dihambat dengan gejala sosial, hari ini mereka adalah aset yang penting kepada negara.
"Bakat yang ada dalam diri mereka tidak seharusnya dipersia-siakan, sebaliknya perlu digilap.
"Sekiranya mereka meminati bidang kesenian, kita sediakan medium untuk mereka tonjolkan bakat diri agar dapat memaksimumkan potensi diri," kata Mentor dan Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda, Yusrika Bahar.
Sehubungan itu, program Rakan Muda menjadi medium untuk mengisi masa lapang remaja di luar waktu persekolahan dan semasa musim cuti sekolah. Program sebegini amat menitikberatkan elemen-elemen pembangunan positif untuk menghindarkan unsur-unsur kurang sihat melalui lapan gaya hidup dan empat program utama mengikut minat para remaja.
"Rakan Muda Seni merupakan salah satu cabang daripada lapan gaya hidup yang mendedah dan mengasah bakat-bakat remaja kepada penulisan kreatif, grafik, muzik, fotografi, drama dan sebagainya. Ia dilihat akan mewujudkan lebih banyak tenaga muda yang terlatih.
BERTEATER melatih seseorang remaja lebih berkeyakinan apabila berada di khalayak.
"Secara tidak langsung, ia juga dapat memacu diri, bangsa dan negara dengan semangat jati diri yang ampuh mengikut acuan sendiri dan budaya Malaysia. Dengan itu, ia mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa remaja adalah satu bebanan," tambahnya.
Sebagai membuktikan bakat mereka, Kaki Muda Teater Putrajaya yang terdiri daripada sekumpulan anak-anak muda Putrajaya yang masih di bangku sekolah membuat persembahan sempena sambutan Hari Belia baru-baru ini.
Yousef Al Farouk, 16, yang menyertai kelas asas teater sejak tahun lalu memberitahu, kluster rakan muda tersebut mendedahkannya konsep bekerjasama di kalangan rakan-rakan.
"Teater itu cukup berat dan memenatkan terutama apabila membabitkan ketahanan mental dan fizikal dengan proses latihan yang panjang.
"Namun, semua rasa letih itu hilang apabila melihat semua tenaga produksi bersatu menjayakannya. Semangat setia kawan itu memberikan kekuatan untuk mengharungi semua tekanan," jelasnya penuh bersemangat.
Selain itu, prinsip kerjasama dalam teater itu turut membuatkan diri mengimbangi sikap ego kerana perlu berinteraksi dengan semua ahli kumpulan yang terlibat.
Hidup bermasyarakat
Pelajar Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11 (1) itu berpendapat, teater merupakan salah satu cara melatih seseorang hidup bermasyarakat.
"Berteater pada dasarnya membolehkan kita mencontohi segala hal yang terjadi dalam kehidupan. Sketsa Kampung Aman misalnya mengenengahkan budaya pelbagai kaum yang hidup harmoni dan memupuk semangat perpaduan.
SKETSA Kampung Aman memaparkan budaya hidup bermasyarakat.
"Budaya toleransi sebegini sememangnya dituntut oleh sesebuah negara dalam berkongsi dan mencapai kemajuan untuk kepentingan bersama. Kita berkawan bukan untuk mencari perbezaan tetapi untuk mencari perpaduan," tambahnya yang memegang watak Raju dalam pementasan teater tersebut.
Seorang lagi ahli Kaki Muda Teater Putrajaya, Nur Fazlyana Mohd. Amir, 16, menjelaskan, minatnya terhadap teater bermula secara kebetulan setelah diajak oleh rakan-rakannya.
"Pada mulanya memang agak janggal, namun setelah mendalaminya saya merasakan teater ada banyak kelebihan terutama dalam membentuk keyakinan diri ketika berada di khalayak.
"Walaupun hanya dilihat sebagai satu bentuk aktiviti seni bagi mengisi masa lapang, namun jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ia mempunyai manfaatnya," katanya.
Tambah Nur Fazlyana, program sebegini dapat mendisiplinkan seseorang selain memupuk semangat kerja berpasukan.
Nur Fazlyana berpendapat, dengan melakukan aktiviti tersebut ia membuatkan seseorang itu menyedari bahawa seni itu adalah sesuatu yang harus dijaga. "Berteater membuatkan kita peka dengan pelarasan muzik, gerakan dan suara.
Daya kreativiti
"Setelah mengenali dunia teater, saya semakin teruja untuk mengenalinya. Mungkin saya masih baru dan cetek pengetahuan mengenai dunia ini, namun secara perlahan-perlahan saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitarannya.
"Aktiviti ini turut melatih saya menghasilkan daya kreativiti yang tinggi kerana kami dituntut membuat pelbagai perkara baru," katanya yang telah menjayakan sebuah teater untuk majlis malam puisi pada Mac lalu.
Sementara itu, Yusrika menjelaskan, pementasan tersebut adalah salah satu komponen yang harus dilengkapkan untuk melayakkan mereka mendapat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Pingat Gangsa.
KAKI Muda Teater Putrajaya mengambil peluang berteater sebagai platform menonjolkan bakat yang ada pada diri mereka.
"Program tersebut merupakan sebuah program yang diiktiraf oleh kerajaan di atas penglibatan remaja yang aktif dalam bidang-bidang yang menyumbang ke arah mematangkan mereka. Malah ia bersifat fleksibel dan berkonsepkan pertandingan di samping menekankan kepada pencapaian serta kemampuan individu.
"Bagi membolehkan mereka memperoleh anugerah itu pelajar tersebut harus melengkapkan empat komponen iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, kemahiran dan penjelajahan lasak dalam masa 15 jam selama tiga bulan," katanya.
Tambah Yusrika, anugerah itu diadaptasi daripada program The Duke of Edinburgh's Award atau kini lebih dikenali sebagai The International Award for Young People. Anugerah itu diperkenalkan sejak tahun 1956.
Bagi memeriahkan lagi karnival tersebut, Lorong Seni turut disediakan selaras dengan agenda Rakan Muda Seni.
"Lorong tersebut menghimpunkan karya-karya kreatif orang muda dan di kalangan pencinta seni ilmiah. Antara persembahan seni yang dipertontonkan kepada pengunjung termasuklah tarian kebudayaan, joget lambak, teater jalanan, deklamasi puisi dan sajak yang disumbangkan oleh produksi seni seperti Yayasan Seni Karya Prihatin, Sesi Seni Production, Akademi Tatih Seni dan Frinjan," jelasnya. - MOHD. YUNUS YAKKUB

No comments:

Post a Comment